TOKYO – Jepun berdepan detik cemas apabila gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 melanda timur laut negara itu lewat malam Isnin, mencetuskan ombak tsunami setinggi 40 sentimeter (cm) di beberapa kawasan pesisir Pasifik.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan gempa berlaku pada 11.15 malam waktu tempatan pada kedalaman 50 kilometer, dengan kawasan paling terjejas mencatatkan intensiti 6 atas pada skala seismik tujuh mata – antara tahap gegaran paling kuat pernah direkodkan.
Susulan gegaran itu, JMA mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Hokkaido, Aomori dan Iwate, dengan paras ombak berpotensi mencecah sehingga tiga meter.
Setakat ini, gelombang tsunami setinggi 40 cm sudah direkodkan di luar pesisir Aomori dan Hokkaido.
Penyiar awam NHK melaporkan tiada sebarang kerosakan dikesan di loji nuklear Fukushima, Higashidori dan Onagawa, meskipun kawasan tersebut berada dalam zon berjaga-jaga.
JMA turut mengeluarkan nasihat tsunami untuk wilayah Miyagi dan Fukushima, sambil penduduk kawasan pantai diarah menjauhi perairan dan berpindah ke lokasi lebih tinggi.
Pihak berkuasa kini memantau keadaan dengan rapi bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
Sumber: BERNAMA-XINHUA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back