TOKYO - Jepun digegarkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 yang melanda kawasan utara dan timur laut negara itu pada Isnin, sekali gus mencetuskan amaran tsunami di beberapa wilayah pesisir Pasifik.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa berpusat di luar pesisir Wilayah Aomori pada latitud 41.0 darjah utara dan longitud 142.3 darjah timur, menyebabkan gegaran dirasai luas di sepanjang kawasan berpenduduk di bahagian utara Honshu.
Susulan itu, JMA mengeluarkan nasihat tsunami untuk pantai timur Aomori dan beberapa kawasan lain di sepanjang perairan Pasifik, menggesa penduduk di zon risiko supaya menjauhi kawasan pantai dan berpindah ke tempat lebih tinggi.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan serius atau korban jiwa, namun pihak berkuasa tempatan memantau perkembangan rapi sambil pasukan kecemasan digerakkan bagi memastikan keselamatan penduduk.
Jepun yang berada di atas Lingkaran Api Pasifik kerap berdepan aktiviti seismik, dan amaran tsunami dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan tragedi seperti yang pernah melanda negara itu sebelum ini.
Sumber: BERNAMA-XINHUA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back