KUCHING – Sarawak dilihat sebagai contoh terbaik berhubung cara warisan harus kekal ‘hidup’ dan diteruskan.
Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah, Sarawak mempunyai pelbagai institusi yang membentuk masa depan warisan.
Antaranya termasuk Pavilion Juma’ani, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), dan Yayasan Temenggong Jugah.
Selain itu, Muzium Budaya Borneo, yang kini dinobatkan sebagai nombor satu dunia, menjadi bukti nyata bahawa warisan Sarawak berdiri megah di pentas global.
Baginda menyifatkan pencapaian itu bukan sahaja sebagai kemenangan Sarawak, malah sebagai kejayaan bersama untuk kepulauan Borneo, Malaysia, ASEAN, dan semua pihak yang terlibat dalam usaha menghidupkan warisan.
Ia secara tidak langsung membuktikan komitmen serius negeri ini dalam memelihara masa depan warisan negeri dan negara untuk generasi akan datang.
Tegas baginda, warisan negara adalah tidak ternilai dengan wang dan tidak dapat berdiri sendiri.
Sehubungan itu, ia memerlukan kolaborasi antara kerajaan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat, dan komuniti tempatan.
Apabila semua pihak bersatu, ekosistem yang dibangunkan akan menyokong kelangsungan warisan serta menguatkan identiti masyarakat setempat.
Dalam pada itu, baginda menekankan bahawa kebanyakan ilmu kraf hanya hidup dalam ingatan dan tangan.
Berikutan itu, baginda menyeru generasi muda untuk terlibat dalam industri kreatif negara dengan menyumbang idea dan kreativiti baharu sebagai usaha menghidupkan industri.
Baginda bertitah demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back