KUCHING — Industri tekstil di Sarawak perlu terus diperkukuh, seiring dengan perkembangan teknologi moden.
Namun begitu, keasliannya mesti terus dipelihara dengan penggunaan motif yang berteraskan budaya tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan tersebut mampu memberikan nafas baharu agar ia selari dengan dunia moden di samping memenuhi keperluan generasi baharu.
Menurut beliau, penganjuran Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BITF) 2025 disifatkan sebagai platform penting yang bersifat analitikal, sekali gus mencerminkan kekuatan serta kematangan sektor tekstil tempatan.
Tujuannya adalah untuk mengenal pasti potensi wilayah-wilayah di kepulauan Borneo, untuk muncul sebagai kuasa besar dalam ekonomi kraf global.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan beliau, Datuk Snowdan Lawan, semasa merasmikan Seminar BITF 2025 di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, penganjuran BITF juga turut memperkukuhkan komuniti tekstil agar berkembang sebagai satu sektor ekonomi yang berdaya saing.
Ia sekali gus meletakkan Borneo pada kedudukan strategik sebagai persimpangan unik dalam ekonomi global.
Beliau menjelaskan bahawa pembangunan sektor tekstil juga memerlukan hubungan erat antara badan kerajaan, agensi swasta dan komuniti tekstil tempatan.
Sinergi antara semua pihak mesti bergerak seiring secara lancar bagi memastikan kelestarian serta pertumbuhan industri dalam jangka panjang.
Back