BETONG: Sebuah keluarga berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas terperangkap akibat kenaikan paras air Sungai Menyalin di Rumah Panjang Menyalin Asal, Debak, Ahad malam, 7 Disember.
Jurucakap APM Debak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang daripada pengadu, Edward Seli, sebelum seramai sembilan anggota dari APM Betong dan Debak digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di rumah panjang, air deras telah naik sehingga dua kaki, menenggelamkan kawasan kediaman dan merosakkan jambatan konkrit berdekatan," katanya.
Operasi menyelamat yang dijalankan dalam hujan lebat berjaya membawa keluar semua mangsa iaitu dua lelaki dan empat wanita dewasa, yang kini ditempatkan sementara di rumah panjang berkenaan.
APM Debak menasihatkan penduduk agar sentiasa memantau paras air sungai dan keadaan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut bagi mengelak kejadian serupa.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back