KUALA LUMPUR - Malaysia sekali lagi membuktikan dominasi dalam arena e-sukan apabila mempertahankan gelaran juara dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada Kejohanan Dunia IESF 2025, selepas menumpaskan Kemboja 3-0 dalam aksi final di Quill City Mall malam tadi.
Skuad negara yang dibarisi Idreen Jamal (Momo), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan Ealtond Rayner (Lolealz) tampil garang dengan permainan bertenaga, tersusun dan agresif sehingga lawan tidak mampu mengimbangi tempo perlawanan.
Barisan Kemboja terdiri daripada Oppi, Detective, Xing, Wadu dan Boxi, cuba bangkit namun terus tenggelam dengan strategi Malaysia yang lebih kemas dan keserasian pasukan yang nyata lebih utuh.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar e-sukan, selepas menewaskan Filipina 2-0 pada final edisi 2024 di Riyadh, Arab Saudi.
Turut menyaksikan detik bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Malaysia membawa pulang hadiah kemenangan bernilai USD32,500.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back