KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan terburu-buru mengisi kekosongan dalam Kabinet MADANI, sebaliknya mahu memastikan perbincangan bersama pemimpin parti dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan.
Anwar berkata beberapa nama telah dikenal pasti, namun rundingan dengan pimpinan Kerajaan MADANI, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin DAP, masih belum diadakan.
“Saya tidak tergesa-gesa… saya perlu mendengar nasihat pemimpin parti sebelum membuat keputusan. Sudah tentu keputusan muktamad adalah prerogatif saya,” katanya selepas melancarkan buku baharunya 'Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times' di Pavilion Bukit Jalil pada Ahad 8 Disember.
Mengulas sama ada proses itu rombakan Kabinet atau sekadar pengisian jawatan, Anwar menyifatkannya sebagai “rombakan kecil”.
Beliau turut mengulas gesaan MCA supaya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek digugurkan, menyifatkannya sebagai sekadar pandangan parti tersebut.
Beberapa portfolio kini kosong, termasuk Menteri Ekonomi; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back