KUCHING - Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus menjadi tunjang kepada komitmen Sarawak dalam memupuk perpaduan dan inklusiviti, sekali gus menegaskan keyakinan negeri ini bahawa kepelbagaian adalah aset penting kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, UNIFOR bukan sekadar agensi pentadbiran, sebaliknya melambangkan dasar keterangkuman kerajaan negeri yang menjadi antara tonggak Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau berkata, peranan UNIFOR dalam menyokong serta menyelaras hal ehwal komuniti bukan Islam telah membantu mewujudkan suasana harmoni antara agama, menjadikan Sarawak sebagai model perpaduan yang menarik perhatian pemimpin dalam dan luar negara.
Ditubuhkan pada 2017, UNIFOR bertanggungjawab memastikan komuniti Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh dan Baha’i mendapat bantuan sewajarnya bagi membina atau membaik pulih rumah ibadat masing-masing.
Sejak penubuhannya, kerajaan negeri memperuntukkan dana tahunan melalui UNIFOR untuk tujuan tersebut.
Pada majlis Makan Malam Penghargaan UNIFOR di Kuching malam tadi, Abang Johari turut mengumumkan tambahan RM10 juta untuk 2026, menjadikan keseluruhan peruntukan kepada RM120 juta sejak UNIFOR ditubuhkan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Umobile
Back