KUCHING - Penganjuran Miss SHOPhia Shopping Hunt 2025 dengan kerjasama stesen radio tempatan CATS FM terus menjadi platform penting dalam mempromosikan produk pelancongan Sarawak serta menyokong kempen Visit Malaysia 2026.
Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md. Yusof berkata penganjuran Miss SHOPhia Shopping Hunt merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan kempen jualan yang dianjurkan tiga kali setahun, dengan edisi kali ini menjadi penutup bagi penganjuran tahun tersebut.
Menurutnya, tujuan utama program berkenaan adalah menggalakkan pelancong berbelanja dalam negara, terutama di Sarawak, selain memperkenalkan serta memperkukuh promosi Visit Malaysia.
Katanya, Miss SHOPhia Shopping Hunt juga membantu mengetengahkan produk pelancongan Sarawak merangkumi tempat menarik, makanan tradisional, budaya dan warisan tempatan.
Mengulas persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, Rubiah berkata Tourism Malaysia Sarawak telah merangka pelbagai program untuk tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada budaya, kulinari dan kerjasama erat bersama pemain industri.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan rakan strategik sangat penting dalam memastikan kejayaan kempen Visit Malaysia 2026.
Ujarnya, Visit Malaysia 2026 bukan hanya agenda Tourism Malaysia, tetapi agenda nasional yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan sokongan rakan industri amat penting bagi menjayakan program tersebut.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Miss SHOPhia Shopping Hunt 2025 di CATS FM, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back