KUCHING – Stesen radio tempatan CATS FM bersedia memperkukuh kerjasama dengan Tourism Malaysia Sarawak pada tahun hadapan bagi memajukan industri pelancongan negeri serta merancakkan kempen Visit Malaysia 2026.
Pengurus Program CATS FM, Mohamad Fadzli Daud berkata kerjasama itu akan dijalankan secara berterusan untuk memberi impak positif kepada masyarakat serta mempromosikan pelancongan Sarawak.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Miss SHOPhia Shopping Hunt 2025 di CATS FM, hari ini, beliau berkata kerjasama itu bukan permulaan sahaja, tetapi sebuah perhubungan strategik yang boleh diteruskan dalam jangka panjang.
Beliau menegaskan CATS FM komited memainkan peranan aktif dalam pelbagai program pelancongan, menyokong usaha kerajaan dan membantu memperhebat promosi industri pelancongan negeri serta kempen nasional Visit Malaysia 2026.
Mengulas mengenai penganjuran Miss SHOPhia Shopping Hunt 2025, Fadzli berkata aktiviti dimulakan di CATS FM sebelum peserta diwajibkan mengunjungi Majlis Kraf Sarawak (SCC) sebagai lokasi pertama.
Peserta kemudian bebas bergerak ke lokasi lain sebelum menamatkan cabaran kembali di stesen radio itu.
Antara lokasi lain termasuk pusat beli-belah Plaza Merdeka, AEON Mall, Boulevard dan Vivacity Megamall.
Program itu berakhir dengan jayanya, melibatkan penyampai CATS FM, pendengar dan pempengaruh.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back