KUCHING - Syarikat penerbangan milik Sarawak, Air Borneo, bakal memulakan operasi jet menjelang Julai 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu sekali gus akan memperluas rangkaian syarikat berkenaan ke peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, operasi awal yang dijadual bermula seawal tahun depan, akan menggunakan pesawat sedia ada sebelum peralihan kepada penggunaan jet.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Kuching, malam ini.
Dalam pada itu, persetujuan untuk memulakan operasi jet turut diperkukuhkan hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura baru-baru ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri Singapura itu bersetuju untuk membuka laluan penerbangan ke Sarawak.
Selain itu, Air Borneo turut menyasarkan Korea Selatan sebagai destinasi seterusnya.
Beliau menjelaskan, sebagai contoh, Pulau Jeju yang diiktiraf sebagai geopark mempunyai potensi menjadi rakan strategik kepada Sarawak yang kini dalam proses menuju status Geopark UNESCO.
Sehubungan itu, beliau berharap perancangan tersebut dapat direalisasikan dan optimis masa depan ekonomi Sarawak semakin cerah dengan perancangan teliti yang menumpukan kepada pembangunan rakyat.
#BilikBeritaCats #Catsfm #Umobile
Back