KOTA KINABALU - Sabah kehilangan seorang pejuang rakyat yang lantang dan tegas dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan negeri ini, dengan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi.
Sinonim dengan laungan ‘Radu Tatap Radu’ atau ‘Lawan Tetap Lawan’, Allahyarham dikenali sebagai pemimpin berani yang tidak gentar menyuarakan isu rakyat, termasuk keperluan asas seperti pembangunan infrastruktur, jalan raya, bekalan air bersih dan peluang ekonomi luar bandar.
Bung Moktar, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Sukau, Kinabatangan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1991, beliau kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan dari 1991 hingga 1992, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back