LUNDU – Usaha memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam era digital terus diperkukuh apabila Program Info-Fun anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu, berjaya menarik penyertaan aktif anak muda setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata program tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk menyediakan ruang pembelajaran, akses maklumat, serta peluang peningkatan kemahiran kepada semua lapisan belia, termasuk di kawasan yang jauh dari pusat pembangunan.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini seiring dengan seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menitikberatkan pembangunan modal insan sebagai tonggak kemajuan ekonomi negeri pada masa hadapan.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna CENTEX Lundu itu turut menyediakan pelbagai sesi taklimat daripada agensi-agensi utama kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Inovasi & Pembangunan Bakat Sarawak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back