KUCHING – Sarawak mensasarkan untuk mencapai standard minimum Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam aspek perlindungan, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan dan penyertaan kanak-kanak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata komitmen itu penting bagi memastikan setiap kanak-kanak di negeri ini menikmati persekitaran yang selamat serta menyokong perkembangan mereka, selaras dengan dasar pembangunan kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai Bandar Calon di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) di Bangunan MBKS, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan seiring dengan dasar Kerajaan Sarawak sehingga 2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak, termasuk memastikan suara golongan itu diberi ruang melalui Majlis Kanak-Kanak serta perancangan pembangunan bandar.
Datuk Amar Dr Sim berkata tujuh daripada 11 pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang menyertai inisiatif CFCI setakat ini adalah dari Sarawak, sekali gus menunjukkan komitmen negeri dalam usaha membina negara melalui agenda ‘Sarawak Nation Building’.
Beliau turut menegaskan keperluan menangani isu semasa yang memberi kesan besar kepada kanak-kanak, termasuk buli siber, malnutrisi dan terlebih nutrisi, yang semakin ketara di kawasan bandar seperti Kuching.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back