KUCHING – Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan kondusif untuk kanak-kanak, selaras dengan pengiktirafan UNICEF sebagai Bandar Calon di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata sejak menyertai inisiatif tersebut pada 2022, MBKS telah melaksanakan pelbagai usaha nyata, termasuk penubuhan Majlis Kanak-Kanak pertama di Sarawak pada Ogos 2024 yang berfungsi sebagai platform rasmi bagi generasi muda menyuarakan pandangan dan menyertai proses membuat keputusan di peringkat bandar.
Menurutnya, pelbagai projek infrastruktur turut dilaksanakan seperti penambahbaikan kawasan permainan, laluan pejalan kaki dan zon hijau di Ruang Terbuka BDC dan Lorong Bayor Bukit, selain pembinaan Taman Autisme sebagai ruang inklusif untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan MBKS sebagai bandar calon di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF Malaysia di Bangunan MBKS, hari ini.
Datuk Wee juga memberitahu MBKS melancarkan Pelan Tindakan Bandar Mesra Kanak-Kanak 2026–2029 yang dibangunkan bersama Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menerusi Analisis Situasi komprehensif.
Katanya, pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, NGO, komuniti setempat dan sektor swasta diperlukan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pelan tersebut.
Ujarnya, MBKS mempunyai misi yang jelas iaitu setiap kanak-kanak di Kuching Selatan mesti selamat, berkembang dengan sihat, dan diberi peluang memainkan peranan dalam pembangunan komuniti mereka.
Pelan berkenaan turut merangkumi aspek gastronomi, penglibatan budaya, kelestarian, pembangunan bandar pintar, literasi digital dan perpaduan, selaras dengan matlamat menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar bukan sahaja mesra kanak-kanak tetapi juga bersedia menghadapi masa depan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back