KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 membabitkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul didakwa menerima wang tunai RM140,000 dan barangan perabot serta elektrik bernilai RM36,829.03 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing sebagai dorongan untuk mempermudah kelulusan lesen syarikat milik Tei, antara November 2023 dan Mac 2024.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, dan Putrajaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan Shamsul diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warganegara dan menetapkan tiga syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport, dan tidak mengganggu saksi.
Kes disebut semula pada 8 Jan tahun depan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back