KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menambah baik mekanisme penyaluran bantuan dengan meneliti penggunaan pendapatan boleh guna sebagai asas baharu pengelasan isi rumah, bagi memastikan bantuan dan subsidi disalurkan lebih tepat kepada kumpulan sasar, termasuk sebahagian golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan komited memastikan dasar sosioekonomi menepati realiti semasa, memandangkan pengelasan pendapatan sedia ada masih bergantung kepada kaedah tradisional berdasarkan pendapatan kasar dan desil.
Jelasnya, jetika ini, bantuan utama kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA diagihkan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) serta kategori B40, melibatkan 9 juta penerima dengan peruntukan RM15 bilion. Di bawah JKM pula, lebih 560,000 isi rumah menerima bantuan bernilai RM3.1 bilion.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Dato Hanifah lagi, seiring dengan pelaksanaan RMK13, kerajaan merancang memperkukuh penentuan kumpulan sasar melalui pendekatan baharu yang lebih tepat dan responsif.
Namun pelaksanaannya memerlukan penelitian rapi demi menjamin keberkesanan keseluruhan program bantuan sosial negara.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back