Kuching – Puluhan projek perumahan swasta di Sarawak yang sebelum ini bermasalah kini kembali dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan setakat ini telah mengenal pasti sebanyak 57 projek perumahan “sakit” di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 projek telah siap sepenuhnya atau sebahagian, manakala 20 projek lagi berjaya dihidupkan semula selepas tertangguh bertahun-tahun.
Menurut beliau, fokus kementerian adalah untuk menyelamatkan projek-projek sakit yang belum “mati”, supaya pembeli rumah dapat memiliki kediaman mereka seperti dijanjikan.
Selain itu, 13 projek lagi masih berada pada pelbagai peringkat penyelesaian isu, dan satu projek telah diisytiharkan secara rasmi sebagai terbengkalai tahun ini.
Dalam perkembangan positif lain, enam projek di Kuching, Sibu, dan Lawas telah siap sepenuhnya tahun ini dan menerima Permit Menduduki (OP).
Pencapaian itu menunjukkan komitmen kementerian dalam memantau serta mempertingkatkan pengurusan pembangunan perumahan swasta di seluruh Sarawak.
Matlamatnya jelas bagi memastikan para pembeli rumah dapat menempati kediaman mereka dengan selamat dan tanpa sebarang penangguhan lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back