Kuching – Satu projek perumahan swasta di Sibu telah diisytiharkan terbengkalai pada Oktober tahun ini, atas kelewatan pembinaan dan terdapat petunjuk bahawa pemaju tidak meneruskan projek tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pengisytiharan tersebut merupakan satu kesalahan serius yang membawa banyak implikasi, terutamanya kepada pembeli.
Menurut beliau, kementerian akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pemaju, termasuk pihak-pihak yang terlibat.
Selain itu, kementerian juga akan menyenaraihitamkan nama pemaju berkenaan dan memaparkannya di laman web kementerian sebagai langkah ketelusan.
Tujuannya ialah supaya orang ramai lebih berhati-hati dan boleh membuat rujukan sebelum membeli atau berurusan dengan projek-projek tersebut.
Dalam pada itu, disebabkan kegagalan pemaju menunaikan obligasi dalam perjanjian jual beli, pembeli rumah yang terjejas berhak menerima bayaran balik penuh, termasuk pampasan sehingga 10% daripada harga rumah seperti termaktub dalam perjanjian.
Mereka juga boleh memohon bantuan kewangan, seperti moratorium atau pengecualian faedah, melalui institusi kewangan masing-masing.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back