Kuching – Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM470.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menterinya yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk pelaksanaan pelbagai projek di bawah 25 pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Menurut beliau, sehingga Oktober 2025, sebanyak RM359.3 juta atau 76 peratus daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan bagi pelaksanaan projek-projek infrastruktur.
Antaranya termasuk projek menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan, penambahbaikan kawasan tebing sungai, serta kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan kemudahan serta infrastruktur luar bandar.
Semua projek tersebut sedang giat dilaksanakan dan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan di bawah pihak berkuasa tempatan masing-masing.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, dari tahun 2015 hingga 2024, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah 6,984 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM1.17 bilion untuk pihak berkuasa tempatan.
Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan telah berjaya menyiapkan 6,353 projek, iaitu 91 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan.
Bagi tahun 2025, pihak berkuasa tempatan telah diperuntukkan RM122 juta untuk melaksanakan 858 projek, yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back