Kuching – Keperluan tenaga kerja kesihatan di Sarawak kini memerlukan lebih 11,000 petugas dari pelbagai kategori kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, data tersebut merupakan hasil daripada kajian semula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tujuh buah hospital di Sarawak, baru-baru ini.
Keperluan tersebut merangkumi 1,567 jawatan doktor baharu dan 4,881 jawatan jururawat baharu.
Menurut beliau, pada masa ini Sarawak mempunyai seramai 27,255 petugas kesihatan kerajaan, termasuk 1,838 yang berkhidmat secara kontrak.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 30,523 jawatan yang telah diluluskan.
Daripada jumlah jawatan yang diluluskan itu, sebanyak 5,106 jawatan masih belum diisi.
Jumlah jawatan doktor yang masih kosong adalah sebanyak 930, manakala bagi jururawat pula terdapat 2,300 kekosongan.
Jumlah tersebut amat membimbangkan jika dibandingkan dengan nisbah doktor kepada penduduk di peringkat kebangsaan.
Bagi Sarawak, negeri ini masih lagi kekurangan seramai 1,871 orang doktor untuk mencapai nisbah tersebut.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Sesi Penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back