KUCHING - Industri pelancongan Sarawak terus mencatat prestasi cemerlang dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM323 juta bagi Belanjawan 2026, merangkumi RM129 juta untuk pembangunan dan RM194 juta untuk perbelanjaan mengurus.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, peruntukan besar itu penting untuk memperkukuh infrastruktur, mempromosi pelancongan, dan menganjurkan acara utama, bagi memastikan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan terus berkembang.
“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, Sarawak menerima 4.01 juta pelancong, menjana hasil pelancongan RM10.22 bilion walaupun berdepan cabaran geopolitik global. Ini jelas menunjukkan sektor pelancongan negeri terus merangsang ekonomi dan memberi manfaat kepada komuniti tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Selasa 2 November.
Menurut Abdul Karim, ASEAN kekal pasaran terkuat dengan Brunei mencatat lebih 1.3 juta ketibaan dan Indonesia 583,568 pengunjung.
Manakala China (58,822), Singapura (52,406) dan Filipina (39,284) turut menyumbang, dimana pelancong domestik mewakili 44.1 peratus daripada keseluruhan pengunjung.
Beliau menambah Sarawak dijangka terus mencatat pertumbuhan pelancongan, dipacu oleh pemasaran berterusan, kepelbagaian produk, peningkatan kesalinghubungan udara dan promosi digital.
Ujarnya lagi, negara Asia Pasifik seperti China, Korea dan Jepun dijangka menjadi pemacu utama ketibaan antarabangsa pada masa hadapan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back