KUCHING - Tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah di Sarawak meningkat 15.75 peratus kepada 11,717 kes berbanding 10,122 tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, rampasan dadah yang dilakukan sepanjang sebulan lalu berjaya menyekat 155,204 kali penggunaan dan menyelamatkan 51,400 individu daripada ketagihan.
Selain itu katanya, 5,316 individu tampil secara sukarela untuk rawatan dan pemulihan, meningkat 13.27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Seramai 83 individu menerima medalion atas kejayaan bebas daripada dadah selama lima tahun berturut-turut.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Selasa 2 November.
Datuk Seri Fatimah berkata pendekatan bersepadu kerajaan negeri turut mendapat perhatian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), yang bersetuju untuk bekerjasama dalam latihan, modul pencegahan berasaskan bukti, dan pembangunan rangkaian global bagi meningkatkan keberkesanan intervensi sedia ada.
Tanbahnya, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak juga mencatat 20 kes dengan 26 tangkapan berkaitan cecair rokok elektronik atau vape yang mengandungi bahan terlarang, dengan jumlah rampasan sebanyak 1,416.15 mililiter sejak 2023.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back