KUCHING - Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 terus mencatat kemajuan positif dengan tahap siap 33.51 peratus setakat Oktober 2025, hampir selari dengan jadual perancangan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, kerja-kerja pembinaan giat dijalankan di laluan strategik bandar, termasuk jalan utama, kawasan bertrafik tinggi dan perumahan, yang menimbulkan kesesakan sementara.
“Usaha meminimumkan gangguan dan melindungi keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan sepanjang projek. Sarawak Metro Sdn Bhd telah melaksanakan Traffic Control Plan (TCP) dan prosedur kerja ketat bagi mengawal risiko dan gangguan utiliti bawah tanah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Beliau menambah, Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) KUTS bersiap siaga 24 jam untuk menangani sebarang insiden, manakala kemas kini projek disampaikan secara berkala melalui saluran rasmi termasuk media sosial bagi memudahkan perancangan perjalanan pengguna jalan raya.
Jelasnya, dengan langkah mitigasi menyeluruh ini, KUTS Fasa 1 bukan sahaja kekal mengikut jadual, tetapi turut dilaksanakan secara berhati-hati untuk memastikan keselamatan dan gangguan minimum kepada rakyat.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back