KUCHING - Sarawak perlu memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk cip termaju dan teknologi digital untuk mengekalkan daya saing ketika kuasa besar dunia berlumba-lumba menguasai sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persaingan global dalam pembuatan cip dan sistem data berasaskan satelit kini membentuk hala tuju ekonomi dunia, dengan negara-negara meningkatkan pelaburan untuk menguasai teknologi masa depan.
“Mereka yang mampu menghasilkan dan menguasai pembangunan cip baharu akan menguasai ekonomi digital,” katanya pada sambutan ulang tahun kelima Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) di sini, pada Isnin malam 1 November.
Katanya, perkembangan pesat AI meningkatkan permintaan terhadap cip berprestasi tinggi, mendorong inovasi bahan baharu seperti gallium nitride (GaN) yang mampu menahan haba tinggi ketika operasi data kompleks.
Menurutnya lagi, Sarawak Microelectronics Design (SMD) sedang membangunkan cip berasaskan wafer putih GaN sebagai langkah awal membina keupayaan teknologi tempatan.
Abang Johari menegaskan, penguasaan teknologi satelit juga penting untuk ekonomi masa depan kerana keupayaannya mengumpul dan menghantar data berskala besar.
Ujarnya, kedudukan geografi Sarawak di kawasan tropika memberi kelebihan strategik bagi pembangunan dan pelancaran satelit.
Beliau menyeru supaya negeri terus melabur dalam penyelidikan, pembuatan termaju dan infrastruktur digital bagi memperkukuh daya tahan ekonomi.
“Masa depan kita bergantung pada kemampuan kita menguasai teknologi ini. Dunia bergerak pantas dan kita mesti bersedia,” katanya.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back