KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) pada Isnin 1 November, memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E, pada harga RM80,000 sebelum insurans dan bateri, menandakan langkah besar dalam pembangunan ekosistem EV tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata QV-E (Quest for Visionary-Electric), menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan melibatkan lebih 100 pakar tempatan.
Katanya, pelancaran tersebut selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang melantik Perodua sebagai peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.
“Matlamat ini memang bercita-cita tinggi dan pada awalnya saya gusar sama ada kita memiliki kemahiran tempatan yang mencukupi. Namun saya bangga kerana EV ini dihasilkan melalui kepintaran, disiplin dan usaha anak-anak tempatan,” kata Perdana Menteri pada majlis pelancaran.
Pelancaran QV-E menandakan permulaan transformasi Perodua ke arah kenderaan mesra alam dan ekonomi automotif berasaskan teknologi tempatan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back