KUCHING - Sebanyak 5,790 permohonan untuk diiktiraf bumiputera Sarawak telah diterima Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak (JPBS).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikie Tayai berkata daripada jumlah itu, 5,186 permohonan telah diluluskan dengan 1,835 diiktiraf komuniti Iban, diikuti 1,718 (komuniti Bidayuh), 601 (Melayu), 336 (Melanau), 199 (komuniti Murut atau Lun Bawang), 146 (Kenyah), 144 (Kayan) dan selebihnya daripada komuniti lain.
Katanya, mulai 1 Jan 2025, semua permohonan untuk diiktiraf sebagai bumiputera Sarawak dibuat sepenuhnya secara dalam talian, iaitu melalui Sistem Permohonan Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak (SARAS).
Pada 26 Jun, sistem itu ditambah baik dengan menambah fungsi semakan kelayakan bagi memastikan hanya permohonan yang memenuhi syarat akan diproses dan dibawa ke JPBS untuk pertimbangan.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching semalam.
Pada 15 Feb 2022, DUN Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan), 2022 yang meminda Ordinan Tafsiran, 2005 [Cap. 61] bagi memasukkan anak-anak hasil daripada perkahwinan campur sebagai bumiputera, walaupun hanya ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back