KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan belanjawan pertama di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kelulusan itu, selepas bacaan kali ketiga disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
RUU tersebut pada asalnya dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober lalu.
Belanjawan 2026, belanjawan keempat Kerajaan MADANI, bertemakan “Belanjawan Rakyat” dengan peruntukan keseluruhan RM470 bilion.
Daripada jumlah itu, RM338.2 bilion dikhususkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi pembangunan.
Selain itu, ia turut merangkumi pelaburan syarikat berkaitan kerajaan sebanyak RM30 bilion, kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta pembiayaan oleh badan berkanun Persekutuan dan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan berjumlah RM10.8 bilion.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back