KUALA LUMPUR - Stok vaksin influenza di Malaysia dijangka kekal mencukupi sehingga Februari 2026, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Berdasarkan maklum balas Pemegang Pendaftaran Produk (PRH), tiada gangguan bekalan direkodkan melalui sistem pelaporan NPRA setakat 18 Nov 2025.
Beliau memaklumkan bahawa fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mempunyai 6,925 dos vaksin untuk kegunaan petugas kesihatan dan warga emas setakat 10 Nov lalu.
Malaysia turut mempunyai tujuh vaksin influenza berdaftar, termasuk produk Vaxigrip, Influvac dan SKYCellflu.
Sejak awal 2025, sebanyak 2.6 juta dos telah diimport, dengan lima penghantaran tambahan berjumlah 429,130 dos tiba antara 25 Nov dan 9 Dis.
Menjawab kebimbangan mengenai harga vaksin di sektor swasta, Lukanisman berkata pemantauan harga dilaksanakan bersama KPDN bagi mengelakkan caj berlebihan.
Kerajaan juga sedang menilai kemungkinan memperkenalkan subsidi vaksin influenza menerusi Belanjawan 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM turut mempertimbangkan peluasan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) bagi mengurangkan masa menunggu pesakit, termasuk cadangan melibatkan khidmat terapi pertuturan yang kini mencatat tempoh menunggu panjang.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back