KUCHING - Sarawak bakal menjadi tumpuan industri animasi dan permainan digital serantau dengan penganjuran Borneo Animation and Gaming Festival (BAGF) yang dijadualkan berlangsung pada Ogos tahun depan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penganjuran festival itu bertujuan menghimpunkan pakar industri, pembangun kandungan digital dan komuniti kreatif, sekaligus mengangkat Sarawak sebagai hab baharu sektor animasi dan permainan digital di rantau ini.
Beliau menambah, BAGF dijangka memberi tumpuan khusus kepada penyertaan negara-negara ASEAN, selain menarik pemain industri global ke Malaysia.
Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut memberikan respons positif dan bersetuju agar satu jawatankuasa bersama ditubuhkan bagi merangka pelaksanaan program tersebut.
Jelasnya, jawatankuasa itu nanti akan dianggotai wakil kerajaan negeri, Kementerian Digital, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membincangkan perkara berkenaan dengan lebih terperinci.
Gobind berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back