MANCHESTER - Malam bersejarah Pep Guardiola dalam aksi ke-100 Liga Juara-Juara sebagai pengendali Manchester City bertukar hambar apabila skuad berwajah baharu itu tewas mengejut 0-2 kepada Bayer Leverkusen di Etihad.
Guardiola melakukan 10 pertukaran selepas kekalahan liga kepada Newcastle, namun pertaruhan itu memakan diri apabila rentak City longlai dan kurang bertenaga sepanjang perlawanan.
City memulakan aksi dengan baik apabila percubaan Nathan Ake ditepis cemerlang Mark Flekken, namun selepas itu mereka kelihatan perlahan dan kehilangan kreativiti, membuka ruang untuk Leverkusen menyerang balas dengan pantas.
Pelawat mendahului menerusi gerakan serangan balas tersusun apabila Christian Kofane melakukan hantaran ke kapten Alejandro Grimaldo yang meledak rembatan leret tepat ke gawang.
Leverkusen menggandakan derita juara England itu pada minit ke-54 apabila Patrik Schick menanduk masuk hantaran silang sempurna Ibrahim Maza.
Kemasukan Erling Haaland pada babak kedua sedikit menghidupkan permainan, namun dua peluang terbaiknya diselamatkan Flekken.
City terus buntu sehingga wisel penamat, manakala Leverkusen meraikan kemenangan penuh bergaya, meninggalkan Guardiola dengan banyak persoalan selepas kekalahan kedua berturut-turut.
Sumber: BBC
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back