KUCHING - Sarawak melangkah setapak ke hadapan dalam agenda kelestarian apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam 25 Nov, sekali gus membuka jalan kepada pengurusan alam sekitar yang lebih moden dan berkesan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penggubalan RUU itu selari dengan visi negeri untuk menukar sisa kepada sumber bernilai, termasuk merancakkan industri biotenaga melalui penggunaan biojisim seperti sisa kelapa sawit, kayu, sagu dan sisa pepejal bandar.
Dengan 84 kilang minyak sawit beroperasi di Sarawak, beliau berkata sumber biojisim yang dihasilkan mampu menyokong pembangunan produk bernilai tambah seperti biogas, biofuel, pelet biojisim dan bioplastik - selari dengan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang menyasarkan biotenaga menyumbang sehingga 10 juta kaki padu piawai gas bersamaan menjelang 2035.
RUU tersebut turut membolehkan penubuhan Pihak Berkuasa Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa, yang akan mengawal selia pemisahan, rawatan, kitar semula dan pelupusan sisa secara mampan, selain menguatkuasakan undang-undang serta menyediakan insentif kepada pihak industri.
Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Uggah berkata langkah tersebut akan memperkukuh tadbir urus alam sekitar Sarawak dan memastikan pengurusan sumber negeri dilakukan secara mampan untuk manfaat jangka panjang.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back