KUALA LUMPUR - Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi bintang apabila pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, 68, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Wangsa Maju pada Selasa malam, 25 Nov.
Berita duka itu disahkan oleh anak keduanya, Muhammad Al Syafiq, 36, yang memaklumkan bapanya meninggal dunia sekitar jam 9.10 malam, sebaik beliau pulang ke rumah. Jenazah akan diuruskan di Masjid Abu Ubaidah, Taman Sri Rampai.
Dharma, yang sinonim dengan filem-filem popular termasuk Adik Manja, sebelum ini bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan seperti asma, bengkak jantung dan paru-paru, gastrik serta tiroid.
Beliau juga pernah diserang angin ahmar pada 2019, sehingga menjejaskan pertuturan dan daya ingatannya.
Sejak itu, kehidupannya banyak dibantu dua anaknya, Muhammad Al Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 37, yang masih melanjutkan pengajian di Aswara.
Pada Februari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan kos harian pelakon yang pernah mencetus fenomena era 80-an ini.
Pemergian Dharma meninggalkan kesan mendalam dalam industri seni, terutama kepada peminat yang membesar dengan lakonannya.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back