Kuching – Sebanyak 1,290 isi rumah di kawasan Opar dan Tanjung Datu bakal menikmati bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti melalui pelaksanaan dua projek bekalan air di daerah Lundu–Sematan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, berkata projek-projek tersebut merangkumi pembinaan New Lundu Water Treatment Plant and Raw Water Intake dan projek Lundu–Sematan Regional Water Supply.
Kedua-dua projek tersebut masing-masing melibatkan peruntukan sebanyak RM111.8 juta dan RM144 juta, yang sepenuhnya dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, apabila siap kelak, projek-projek itu akan meningkatkan liputan bekalan air terawat ke 23 kampung, sekali gus memberikan kemudahan asas yang lebih baik kepada ribuan penduduk di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, pelaksanaan projek-projek itu juga merupakan sebahagian daripada pelan induk bekalan air dan sistem grid air Sarawak yang sedang dilaksanakan.
Tujuannya bagi memastikan setiap isi rumah di luar bandar mendapat kemudahan setara dengan kawasan bandar.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Opar dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back