KUCHING – Sebanyak 7,480 pemilik bot persendirian dan bot panjang di Sarawak telah memohon Subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) setakat 19 November 2025, kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai) Sarawak, Datuk Henry Harry Anak Jinep.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 5,765 permohonan disahkan layak, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan kelulusan secara berperingkat.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Hari Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.
Menurut Henry yang juga ADUN Tasik Biru, Bahagian Kapit mencatat permohonan tertinggi sebanyak 3,218, diikuti Mukah (931), Sibu (832), Sri Aman (794), Sarikei (505), Limbang (282), Serian (272), Kuching (250), Samarahan (141), Bintulu (136), Betong (73) dan Miri (37).
Program BUDI95, yang mula dilaksanakan pada 27 September lalu, memberi subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dan di Sarawak ia turut diperluaskan kepada pemilik bot tanpa lesen memandu bagi membantu komuniti luar bandar yang bergantung kepada pengangkutan sungai.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #uMobile
Back