KUCHING – Sebanyak 11 perkara utama berkaitan MA63 disahkan selesai hasil rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan setakat November 2025, kata Timbalan Menteri di Pejabat Premier, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Ia termasuk penyerahan kuasa kawal selia gas LPG kepada Sarawak, pindaan Artikel 1(2) yang mengiktiraf status rakan setara Sarawak-Sabah, kuasa mentakrifkan “native”, pengiktirafan JKR, DID dan JBALB sebagai jabatan teknikal serta penukaran status Bintulu Port kepada pelabuhan negeri.
Ujarnya, satu perkara iaitu Semakan Kewangan di bawah Artikel 112D telah diselesaikan secara sementara dengan kenaikan Geran Khas Sarawak kepada RM600 juta mulai 2025.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, pada Persidangan Hari Kedua DUN Sarawak, hari ini.
Hasidah yang juga ADUN N7 Semariang turut berkata, dua perkara dipersetujui secara dasar, manakala beberapa isu termasuk penambahan kerusi Parlimen, kesihatan, pendidikan, Borneonisasi dan pembangunan sempadan masih dalam rundingan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #uMobile
Back