BINTULU - Seramai 82 individu ditahan dalam Op Tapis Narkotik yang dijalankan dari 17 November hingga 23 November lalu di beberapa lokasi sekitar Bintulu, sebagai usaha mengekang penyalahgunaan dadah dalam komuniti setempat.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 79 lelaki dan tiga wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Seorang suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) ADB, manakala 10 lagi mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
Selain itu, 71 penagih dadah berusia 14 hingga 60 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a). Operasi itu turut membawa kepada rampasan 11.3 gram dadah disyaki syabu, bernilai kira-kira RM1,554.
Kesemua suspek kini dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan lanjut. Superintendan Nixon menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back