MANCHESTER - Everton mencipta kemenangan luar biasa di Old Trafford apabila menewaskan Manchester United 1-0, meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas Idrissa Gueye dilayangkan kad merah seawal minit ke-13 kerana menampar rakan sepasukan sendiri, Michael Keane.
Insiden panas itu tercetus selepas Keane menegur Gueye ketika mereka bertahan daripada serangan United, menyebabkan Jordan Pickford terpaksa meleraikan kedua-duanya sebelum pengadil Tony Harrington mengarah Gueye keluar padang.
Lebih malang, Everton turut kehilangan kapten Seamus Coleman yang mengalami kecederaan pada minit ke-10, namun kekurangan pemain tidak menghalang mereka bangkit mengejutkan tuan rumah.
Kiernan Dewsbury-Hall muncul wira apabila meledak gol cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Senne Lammens, sekali gus memberikan Toffees gol pendahuluan yang kekal hingga tamat perlawanan.
Walaupun United menggandakan tekanan dalam usaha mencari gol penyamaan, pertahanan kental Everton memastikan mereka muncul pasukan pelawat pertama dalam sejarah Liga Perdana menang di Old Trafford selepas menerima kad merah.
Kemenangan itu turut memberi keceriaan buat bekas pengendali United, David Moyes, yang akhirnya mencatat kemenangan liga pertama sebagai pengurus lawan di stadium keramat tersebut.
Sumber: BBC
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back