Kuching – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) catat kejayaan berganda, raih anugerah antarabangsa dalam The International Awards for Liveable Communities (LivCom Awards) 2025 di Istanbul, Turki baru-baru ini.
Dua anugerah tersebut ialah, Anugerah Perak bagi kategori Whole City, hasil perancangan strategik menyeluruh berteraskan kemampanan, serta Anugerah Gangsa bagi kategori Penyelesaian Teknologi melalui Projek Darul Hana Musical Fountain.
Lebih membanggakan, DBKU juga turut disenarai pendek bersama 30 banda raya lain untuk membuat pembentangan akhir sebelum Keputusan akhir diumumkan.
Ia sekali gus menonjolkan usaha pihak berkuasa tempatan itu di pentas global.
Datuk Bandar DBKU, Dato’ Hilmi Othman berkata, pencapaian itu mengangkat kedudukan DBKU sebagai pihak berkuasa tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam edisi LivCom tahun ini, DBKU bersaing dengan 281 penyertaan daripada 52 negara termasuk Itali, China, Korea Selatan dan Perancis.
Ia merupakan pertandingan global yang menekankan amalan terbaik dalam pengurusan persekitaran dan pembangunan bandar, diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, kejayaan itu bukan sahaja mengiktiraf usaha DBKU dalam pembangunan mampan, tetapi juga menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kualiti hidup penduduk Kuching Utara di bawah pentadbiran DBKU.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung kejayaan tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back