KUCHING - Penurunan harga minyak mentah global memberi kesan ketara kepada hasil Sarawak bagi 2025 apabila kutipan negeri diunjur lebih rendah berbanding sasaran asal.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat Oktober 2025, Sarawak mencatatkan hasil RM10.3 bilion, iaitu 73 peratus daripada sasaran tahunan.
Namun katanya, berdasarkan tren semasa, jumlah keseluruhan hasil negeri bagi tahun ini dijangka hanya mencapai RM12.1 bilion.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak, berkata unjuran itu menunjukkan pengurangan sebanyak RM2.1 bilion atau 15 peratus berbanding anggaran asal RM14.2 bilion.
Jelasnya, penurunan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada harga minyak mentah global yang kekal rendah, dengan purata sekitar USD69 setong sepanjang tahun.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata petroleum kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil negeri, dengan cukai jualan negeri daripada sektor itu berjumlah RM2.9 bilion daripada keseluruhan kutipan cukai jualan sebanyak RM3.9 bilion.
Menurutnya, sumber cukai jualan lain terdiri daripada minyak sawit mentah dan isirung sawit (RM801 juta), aluminium (RM64 juta), loteri (RM59 juta), produk kayu (RM21 juta), ferroaloi (RM20 juta) dan polisilikon (RM9 juta).
Selain itu, katanya, Sarawak turut menerima RM2.2 bilion pampasan tunai menggantikan hak minyak dan gas, RM1.1 bilion dividen, RM640 juta faedah dan pulangan pelaburan, RM562 juta royalti air mentah, RM232 juta premium tanah, RM209 juta hasil perhutanan, RM120 juta pampasan berkaitan duti import dan eksais petroleum, geran serta bayaran balik Persekutuan berjumlah RM744 juta, serta RM593 juta daripada sumber lain seperti royalti perlombongan dan hasil tanah dan air.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back