KUALA LUMPUR - Trio legenda muzik negara, KRU, menutup siri konsert GenKRU dengan persembahan penuh tenaga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, disaksikan lebih 15,000 penonton pada 22 November lalu.
Konsert The Finale: One More Time menampilkan lagu-lagu hit seperti Awas, Mengerti dan Oh La La, selain memperkenalkan karya jarang didengar seperti Fobi dan Salah Siapa. KRU turut menampilkan lagu baharu One More Time dan kolaborasi istimewa dengan kumpulan Rabbani.
Selain persembahan trio, ahli-ahli KRU tampil solo, termasuk Norman melalui lagu hip-hop klasik, manakala Edry berduet dengan Datin Juliana Banos. Penampilan khas media sosial Kasih Iris Leona dan usahawan Datuk Seri Vida turut memeriahkan pentas.
Konsert ini juga diwarnai momen sebak apabila Edry berkongsi keadaan kesihatan bapa mereka yang dimasukkan ke hospital.
Meskipun terdapat sedikit kekangan stadium terbuka, persembahan KRU menutup rangkaian GenKRU dengan penuh gaya, meninggalkan kenangan manis kepada peminat selepas lebih 30 tahun kerjaya muzik mereka.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back