LAWAS - Cubaan menyeludup masuk rokok dan minuman keras menggunakan rangkaian anak sungai kecil di kawasan sempadan Lawas gagal, selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas barangan tidak berkastam bernilai lebih RM53,000 dalam satu operasi pada 30 Oktober lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata operasi bersepadu Unit Operasi Darat dan Marin Cawangan Penguatkuasaan JKDM Lawas itu digerakkan selepas menerima maklumat risikan dari Pusat Perisikan Zon Sarawak berhubung pergerakan barangan mencurigakan di tebingan sungai Kampung Surabaya, Jalan Merapok.
Beliau dalam kenyataan hari ini memberitahu hasil pemeriksaan di lokasi, pihaknya menemukan 555,000 batang rokok dan 1,552.32 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki cuba diseludup masuk tanpa cukai.
Dedahnya, keseluruhan barangan dianggarkan bernilai RM53,672, manakala anggaran duti import dan cukai yang cuba dielakkan mencecah RM398,561.14.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back