SEBUYAU - Projek naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk tempatan, termasuk mengurangkan masalah kerosakan peralatan elektrik di rumah dan premis perniagaan akibat gangguan bekalan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata peningkatan kestabilan sistem elektrik itu juga berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Ujarnya, projek tersebut dijangka dapat menarik pelaburan baharu dalam sektor pertanian moden serta industri kecil dan besar yang bergantung kepada bekalan tenaga konsisten.
Beliau memberitahu kerjasama antara kementeriannya dan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memastikan talian elektrik sentiasa berada dalam keadaan optimum melalui pemantauan berterusan.
Ini termasuk penggunaan dron untuk pemeriksaan talian atas dan pengimbasan haba, kerja pemangkasan tumbuhan serta penyelenggaraan berkala.
Datuk Seri Julaihi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Samarahan, yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Dewan Kampung Sampat, Sebuyau, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back