KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Kementerian Digital menubuhkan pasukan pakar kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan manusia semula jadi (NI) bagi memperkukuh program advokasi kanak-kanak di sekolah.
Menurut Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri, permintaan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam, berikutan keperluan untuk memberi pendedahan jelas kepada pelajar mengenai perbezaan antara teknologi AI dan kemampuan NI manusia.
Beliau menekankan bahawa ramai kanak-kanak terlibat dalam permainan dalam talian dan terpengaruh dengan elemen AI, justeru pasukan pakar diperlukan untuk membantu program pendidikan dan advokasi.
Nancy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Citra Akademik Untuk Komuniti dan Alam (CAKnA) di Kampung Salak, Santubong, hari ini.
Dalam isu berasingan, KPWKM akan terus memantau keluarga adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bagi memastikan pematuhan 14 syarat ketat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk pengawasan, perlindungan daripada pengabaian atau penderaan, dan akses pendidikan serta terapi sesuai.
Pemantauan itu dilakukan melalui lawatan rumah JKM, dan tiada tempoh ditetapkan kerana aspek kebajikan perlu dipantau secara berterusan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back