KUCHING - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal menyaksikan pembentangan RUU Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025, yang mencadangkan penambahan bilangan jemaah menteri bagi menampung skop tanggungjawab kerajaan negeri yang semakin meluas.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, cadangan itu selaras dengan pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99, sekali gus menjadikan Kabinet baharu lebih efisien dalam mengurus portfolio masing-masing.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pre-Council sempena Persidangan DUN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jalan Bako hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama barisan kepimpinan negeri.
Menurut Asfia, ketika ini masih terdapat menteri yang memegang sehingga tiga portfolio, menyebabkan sesi penggulungan menjadi panjang dan kurang praktikal.
RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 24 November, dengan jumlah penambahan menteri bakal diumumkan ketika pembentangan.
Sarawak juga turut menumpukan perhatian kepada RUU lain, termasuk RUU Bangunan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewujudkan lembaga bagi melantik arkitek dan jurutera bertauliah serta mengiktiraf bangunan hijau, serta RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 yang memperkenalkan model pengurusan sisa moden berinspirasikan negara seperti Sweden.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back