KUALA LUMPUR - Beregu campuran sensasi negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terus mempamerkan prestasi konsisten apabila mara ke final Terbuka Australia 2025 selepas menewaskan lawan dari Thailand pada aksi separuh akhir di Sydney, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Quaycentre, Olympic Boulevard, pasangan pilihan utama itu mempamerkan penguasaan menyeluruh untuk menumpaskan Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-14 dalam tempoh 50 minit.
Kemenangan itu meletakkan beregu ranking nombor empat dunia itu hanya selangkah lagi daripada meraih gelaran kedua tahun ini, selepas muncul juara dunia serta menjuarai satu kejohanan sebelum ini.
Mereka bakal berdepan sama ada pasangan pilihan kedua dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, atau pilihan ketiga dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, pada final esok.
Sementara itu, cabaran beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
Sze Fei-Izzuddin, yang hadir sebagai pilihan kedua kejohanan, gagal menemukan rentak dan tunduk 15-21, 15-21 dalam masa 42 minit pada pertemuan pertama mereka menentang Raymond-Nikolaus.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back