TOKYO - Kontinjen Malaysia akhirnya memecahkan kebuntuan apabila Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong merangkul emas pertama negara dalam acara doubles boling pada Deaflympics 2025 di Higashiyamato Grand Bowl, Tokyo, pada Jumaat 21 November.
Dalam perlawanan akhir yang sengit, gandingan Malaysia menundukkan Ukraine 2-1 dengan jatuhan pin 243, 181 dan 226, mengejutkan lawan Danyliuk Vadym dan Ialovega Vladyslav.
Syabil, 21, yang baru digandingkan dengan Choon Seong bulan lepas, berkata keserasian dan semangat bersaing antara mereka menjadi kunci kejayaan.
“Alhamdulillah, pingat emas ini untuk ibu bapa kerana mereka telah banyak menyokong saya,” kata Syabil melalui jurubahasa isyarat.
Choon Seong pula menzahirkan penghargaan kepada jurulatih yang membimbing mereka ketika detik sukar perlawanan.
Kemenangan ini melepasi jangkaan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan membantu kontinjen negara menghampiri sasaran tiga emas, selepas badminton menyumbang gangsa dalam acara beregu campuran.
Acara boling berpasukan lelaki pula dijadual berlangsung Ahad ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back