KUALA LUMPUR - Dua beregu negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani serta Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei terus mengibarkan cabaran Malaysia apabila masing-masing melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia 2025 di Sydney pada Jumaat 21 November.
Beregu lelaki pilihan kedua, Sze Fei–Nur Izzuddin terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan gandingan Korea Selatan–Malaysia, Choi Sol Gyu–Goh V Shem dalam pertarungan sengit selama 69 minit yang berkesudahan 21-13, 20-22, 22-20 di Quaycentre, Olympic Boulevard.
Mereka seterusnya akan berdepan pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Raymond Indra–Nikolaus Joaquin, yang mencipta kejutan menyingkirkan pilihan ketiga negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun.
Sementara itu, beregu campuran negara, Tang Jie–Ee Wei membuktikan status pilihan utama dengan menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei–Nicole Gonzales Chan, 21-17, 21-15 dalam masa 37 minit.
Beregu campuran ranking keempat dunia itu bakal berdepan lawan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai dalam aksi separuh akhir hari ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back