KUCHING - Polis Daerah Kuching menahan 46 individu dalam Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan selama empat hari dari 17 hingga 20 November bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandaraya ini.
Daripada jumlah itu, 2 suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 2 suspek di bawah Seksyen 39A(1), 5 suspek di bawah Seksyen 12(2), manakala 37 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Selain itu, 5 daripada 37 suspek turut didakwa di bawah Seksyen 39C kerana kesalahan berulang.
Operasi tersebut turut berjaya merampas 1,067.25 gram methamphetamine dan 12 gram pil psikotropik dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM41,145.70.
Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuching untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline JSJN 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak 017-592 9211.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back