KUCHING – Subjek Bahasa Inggeris mencatat prestasi terbaik dengan 90.97 peratus kadar kelulusan dalam Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, seramai 5,241 pelajar atau 18.07 peratus calon memperoleh gred A dalam subjek itu, menandakan keberkesanan program penguasaan dan pengayaan Bahasa Inggeris.
Sementara itu, subjek Sains mencatat kadar kelulusan 84.71 peratus, manakala Matematik mencatat 61.01 peratus, dengan Matematik kekal sebagai subjek paling mencabar terutama di sekolah luar bandar dan Sekolah Kurang Murid (SKM).
Menurut beliau, UP-DLPS 6 berfungsi sebagai alat diagnostik untuk menilai keberkesanan program DLP Sarawak dan mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan, bukan sebagai pertandingan antara pelajar atau sekolah.
Justeru menurut Roland, langkah seterusnya adalah melaksanakan intervensi bersasar bagi memperkukuh prestasi Matematik dan Sains, khususnya di kawasan luar bandar, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan agensi berkaitan.
UP-DLPS 6 2025 melibatkan 1,050 sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta, dengan 29,002 pelajar menduduki kertas Matematik dan Bahasa Inggeris, manakala 29,000 pelajar menduduki kertas Sains, dengan kadar kehadiran 99.46 peratus.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back